Lori diubah suai beli diesel dirampas
Lori diubah suai yang berjaya dirampas, semalam.
SENAI – Cubaan pemandu sebuah lori yang diubah suai untuk membeli diesel subsidi di sebuah stesen minyak di Sutera Danga, Skudai gagal apabila ditahan sepasukan Polis Marin Wilayah Dua dekat sini, pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi bersama lima anggota pada jam 9.10 pagi itu, pihaknya berjaya merampas sebuah lori yang telah diubah suai pada bahagian tangki.

“Bertindak atas maklumat risikan berkaitan aktiviti penyelewengan diesel subsidi, pasukan operasi telah menahan sebuah lori berkanvas dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan ke atas lori tersebut dan menjumpai lima tangki yang setiap satunya boleh memuatkan 1,000 liter diesel dan tangki tambahan yang telah berisi lebih kurang 600 liter diesel yang disyaki subsidi kerajaan.

“Kesemua barang tersebut dirampas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Seksyen  21 kerana membawa atau memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pemandu bersama lori tersebut diserah kepada KPDNKK Johor Bahru untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan yang menyalahi undang- undang khasnya penyeludupan manusia dan barangan bercukai serta jenayah maritim bagi tujuan pembanterasan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di talian  07–2372222 atau  07–2376122,” katanya.