Kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, siasatan adalah untuk mengenal pasti punca kemalangan. “Jangan menuding jari atau membuat spekulasi, berilah ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” tegas beliau.

Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional dan laporan akan diumumkan kepada orang ramai.

Dalam pada itu Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tindakan susulan dan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti pelanggaran
Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Setiap kali ada kemalangan jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa, kita menubuhkan jawatankuasa penyiasat, mencadangkan pelbagai kaedah untuk mengelakkan tragedi berulang. Tetapi seperti biasa tiada siapa yang
mengambil kisah mengenai cadangan dikemukakan. 

Seorang anggota JKJR, Tan Sri Lee Lam Thye meminta mereka yang terlibat dalam industri pengangkutan agar menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk menghentikan ‘kematian beramai-ramai’ di jalan raya di negara ini.

Beliau mahu beberapa isu asas dikaji seperti, sama ada pemandu bas mempunyai bebanan kerja yang lebih dan upah kurang atau perlu mengambil dadah untuk membuat lebih banyak perjalanan bagi memperoleh pendapatan lebih untuk kehidupan mereka.

Apa yang ditimbulkan oleh Lam Thye sebenarnya telah banyak kali disuarakan. Bukan rahsia lagi ada pemandu bas mengambil dadah, ada yang kerja berterusan melebihi had masa, ada yang lesen telah mati. Malah ada
pemandu menerima notis saman lebih sepuluh kali. Ada juga syarikat bas yang menerima berpuluh notis saman atas pelbagai kesalahan lalu-lintas.

Semua kesalahan dan notis saman itu pernah disiarkan media. Cuma tidaklah diketahui sama ada mereka yang disaman itu telah dikenakan tindakan. Atau, apakah mereka masih lepas bebas dan terus berada di jalan raya dan lebuh raya kita.

Sekiranya pemandu ‘hitam’ ini masih menguasai jalan raya kita, ditambah pula dengan pengusaha syarikat bas yang degil, tragedi maut seperti di Genting juga di laluan-laluan lain seluruh negara, akan terus melanda. Nyawa penumpang dalam bahaya.

Lebih-lebih lagi di tempat kita sentiasa ada pemandu kenderaan yang menerima notis saman atas berbagai kesalahan lalu-lintas, tetapi sengaja tidak mahu melunaskan saman tertunggak. Seperti dijelaskan Ketua Polis Negara,
Tan Sri Khalid Abu Bakar, 1.7 juta saman trafik belum dibayar. Begitulah degilnya kita.

Menurut orang No.1 Bukit Aman itu, polis tidak akan bertolak ansur, dan memberi amaran, siapa sahaja yang gagal melunaskan saman akan berdepan dengan tindakan tegas: mereka akan disenaraihitamkan, dan lesen memandu akan dibatalkan.

Macam pernah dengar amaran ini!

*AKHIR kalam, ada yang masih berselindung-selindung macam malu-malu kucing, ada yang masih bercakap berlapis. Tetapi ada juga yang berterus-terang, lantang lagi yakin bahawa mereka akan bertanding dalam pemilihan Umno hujung tahun ini. Maka hubaya-hubaya membeli undi pun bermula. Selamat menjual diri!