Modifikasi ekstrem Azraai
Azraai melabur sebanyak RM70,000 untuk mengubah kereta kelimanya, Waja.
Modifikasi ekstrem Azraai
Modifikasi ekstrem Azraai
Modifikasi ekstrem Azraai
Bukaan pintu belakang yang unik.
Modifikasi ekstrem Azraai
Bahagian kabin menggunakan kulit Nappa secara keseluruhannya.
Modifikasi ekstrem Azraai
Untuk sistem audio sahaja, Azraai membelanjakan sejumlah RM20,000.
Modifikasi ekstrem Azraai
Sebagai penumpang belakang, tentu selesa dengan material mahal yang digunakan.
Mereka yang kurang arif mengenai modifikasi kereta mungkin menganggap kerja gila atau membazir. Bagi si fanatik modifikasi itu, ia satu kepuasan yang tidak terungkap dalam seni yang digarapkan pada jentera empat roda.

Mungkin rekaan ekstrem sudah banyak, tetapi rekaan yang bergaya seperti ini jelas punya sensasi tersendiri atau kebanggaan tatkala mengenderai tunggangan tersebut.

Perubahan paling menonjol adalah aplikasi cat berwarna Candy Apple Red dari House of Kolor, Amerika Syarikat pada bahagian badan dan paduan kit badan yang melingkari seluruh kereta membuat makna elegan semakin kental akan nuansa modifikasinya. Ini berbeza dengan penggunaan aksesori custom made yang direka sendiri si pemilik.

Bahagian luar Proton Waja dilebarkan secara custom. Untuk cat sahaja pemilik kereta melaburkan wang sebanyak RM10,000. Jika dilihat kepada fizikal Waja yang berubah hasil ubah suai major pada kit badan, pasti anda berasa kagum. Mungkin ada yang memikirkan bagaimana Waja merah itu bergerak kerana bampar hadapannya mencecah lantai.

Menurut Zainul Azraai Abdul Wahab, 28, kos modifikasi yang dilakukan mencecah RM70,000. Pujian yang diterima daripada rakan dan pengunjung pameran menyuntik lagi kesungguhannya untuk melakukan inovasi pada Waja keluaran 2003 itu. Kereta yang dibeli berharga RM25,000 itu mengalami evolusi secara berperingkat.

Untuk mendapatkan stance yang rendah pada kereta sistem suspensi angin daripada jenama Air Runner digunakan. Suspensi berkenaan diubah suai untuk Waja berharga RM8,000. Pengubahsuaian ekstrem itu lebih kepada pameran auto di mana stance yang rendah akan membuatkan jentera kelihatan lebih tegap. Manakala untuk kegunaan harian, Waja ditinggikan untuk keserasian di atas jalan raya.

Watak mewah

Azraai berkata dia begitu berpuas hati dengan usahanya apabila pengunjung kagum dengan camber belakang yang ditala dengan 14 darjah. Untuk bunyi yang lebih sedap didengar, ruang belakang but juga dipenuhkan dengan sistem audio dari Hifonics USA, sebuah Playstation 3 dan skrin Samsung LED 23 inci.

Azraai  turut menongkah arus dengan mengubah pintu bahagian penumpang belakang dengan cara bukaan ke arah belakang ala Rolce Royce dan Bentley.

“Idea dan modifikasi berkenaan dilakukan sendiri,” katanya yang memandu Mitsubishi Airtrek Turbo sebagai jentera harian manakala Waja disimpan di rumah berbalut rapi.

Karakter sporty Waja diterjemahkan menerusi penggunaan rim aloi 19 inci daripada WEDS Kranze Rapier yang di import terus dari Jepun. Kabin bernuansa gaya VIP dilengkapi dengan aksesori senada menjadikan pemandangan tampil eksklusif.

Lampu candelier kecil di bahagian tengah satu kelainan yang menyerlahkan watak mewah di dalamnya dan anda sebenarnya langsung tidak menyangka duduk di dalam Waja sebenarnya.

“Ruang kabin ditransformasikan sepenuhnya kepada ruang dalaman Proton Chancellor.

“Penggunaan kemasan kulit Nappa pada keseluruhan ruang dalaman termasuk papan pemuka, bumbung, kulit pintu dan ruang speaker belakang dengan kos hampir RM11,000,” katanya.

Azraai berkata, Waja hanya dibawa keluar sebulan sekali sahaja dan kereta kelimanya itu adalah percubaannya yang pertama untuk terlibat dalam bidang modifikasi kereta.

“Sebelum ni saya menceburi bidang drag, drift dan trek. Antara kereta yang pernah saya pakai adalah Subaru Impreza, Satria VR4 dan juga Toyota KE70.

“Rasanya dah sampai masa untuk memperlahankan rentak dalam bidang perlumbaan, dan memilih modifikasi estetika dan itulah antara sebab saya menceburi bidang auto show,” katanya yang juga berminat kepada motosikal berkuasa tinggi dan memiliki Kawasaki ZXR750 dan Honda CBR100.

Pemuda yang terlibat dalam komuniti auto show ini mula melibatkan diri pada 2009. Kemenangan pertamanya pada pameran auto di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mendapat tempat kedua dalam kategori Proton Open. Beliau turut menerima anugerah sebagai Best Proton di Hot
Import Nights (HIN) 2011 di Shah Alam. Sementara itu di Proton Power of 1 di Stadium Bukit Jalil, Waja milik Azraai mendapat Juara Keseluruhan bagi kategori sistem audio dan luaran.
NURHAZAH IBRAHIM
17 September 2012