Anggota polis memeriksa nombor enjin motosikal yang ditemui.
Anggota polis memeriksa nombor enjin motosikal yang ditemui.
KULIM - Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang beberapa hari lalu di Pekan Kulim ditemui semula di ladang kelapa sawit Taman Rhu di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, rangka motosikal dan beberapa komponen yang sudah dileraikan itu ditemui dalam parit tanah buatan sendiri kira-kira jam 7 petang.

Menurutnya, selain ladang kelapa sawit, pencuri turut menjadi kawasan semak dan rumah tinggal untuk dijadikan tempat bagi mereka meleraikan komponen motosikal curi.

“Sehingga kini beberapa kawasan sudah dikenal pasti sebagai tempat berisiko di mana motosikal sering dilaporkan hilang.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya menggunakan kunci tambahan untuk memastikan motosikal mereka tidak mudah dicuri,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, selain tidak menggunakan kunci tambahan, pemilik motosikal juga cuai ketika meletakkan motosikal mereka di kawasan parkir.

“Permasalahan kecurian motosikal adalah indeks utama di Kulim. Walaupun ramai dalam kalangan suspek berjaya ditahan tetapi masalah ini masih berlaku. Ini adalah kerana permintaan terhadap komponen motosikal masih tinggi.

“Apa dapat kita lihat kebanyakan pelajar sekolah kini menunggang motosikal. Ia mempengaruhi rakan lain walaupun mereka tidak berkemampuan. Ini membuatkan mereka mengambil jalan mudah dengan membeli motosikal curi yang dijual pada harga RM300 sebuah,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini ada dalam kalangan pelajar sekolah yang ditahan polis kerana mencuri semata-mata untuk memperbaiki motosikal mereka yang rosak.

Menurutnya, ibu bapa seharusnya memantau perubahan yang berlaku pada motosikal anak mereka sekiranya terdapat sebarang pengubahsuaian.

“Kesalahan mencuri motosikal merupakan satu kesalahan serius dan mereka terlibat akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. Selain denda, suspek terlibat juga boleh dipenjarakan.

“Polis juga menasihatkan golongan remaja jangan membeli motosikal yang mencurigakan atau motosikal curi. Ini adalah kerana polis akan menahan mereka yang memiliki atau yang menunggang motosikal itu,” katanya.