PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutan akan mengkaji semula jadual operasi dan laluan bas Nadi Putra di kawasan pusat pentadbiran persekutuan ini untuk memastikan perkhidmatannya lebih efisien terutama pada waktu puncak.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata langkah itu bagi menangani rungutan yang diterima daripada pengguna perkhidmatan  bas berkenaan.

"Saya juga ada terima rungutan mengenai bas yang tidak menepati masa, jadi kita akan lihat kaedah paling sesuai bagi mengatasi masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas taklimat oleh Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn Bhd (PAPSB) di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, meskipun jadual operasi dan laluan perkhidmatan terbaik telah disediakan, namun masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki.

"Sebab itu kita akan dapatkan maklumat dan idea daripada orang ramai menerusi borang soal selidik untuk membantu pihak pengurusan menyediakan perkhidmatan yang memenuhi kehendak pengguna.

"Dalam borang soal selidik itu orang ramai juga boleh memberi pandangan...cadangan (termasuk) kenaikan kadar tambang kepada RM1 serta gaji pemandu bas," katanya.

Harga tambang yang dikenakan kini ialah 50 sen berikutan kerajaan memberikan subsidi RM3 seorang penumpang.

Selain itu, katanya pihak pengurusan Nadi Putra juga akan mengkaji keperluan meluaskan perkhidmatan bas itu ke kawasan berdekatan seperti Kajang dan Bangi.

"Ia untuk memudahkan mereka yang menetap di luar Putrajaya berulang-alik serta yang mempunyai urusan di pejabat-pejabat kerajaan," katanya.

Mengenai perkhidmatan monorel, beliau berkata kajian yang telah dibuat mendapati jumlah penduduk di Putrajaya kira-kira 80,000 masih belum mencapai jumlah ideal bagi perkhidmatan berkenaan iaitu 500,000 penduduk.  - Bernama