Peniaga mi celup menang Proton Preeve
Zuliani bersama suami dan anak-anak menerima replika kunci Proton Preeve yang disampaikan oleh R.Naidu (kiri)
KOTA  BHARU - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah gambaran yang dapat diberikan apabila seorang peniaga mi celup, Zuliani Abd Rahman, 32, berjaya memenangi sebuah Proton Preeve bernilai RM65,000.

Ibu kepada tiga orang anak itu yang berasal dari Pengkalan Chepa itu tidak pernah menyangka percubaan kali pertama menyertai peraduan beli dan menang yang dianjurkan oleh
Pasaraya Mydin Kubang Kerian membawa tuah kepadanya.

“Ini kali pertama saya menyertai peraduan dan menjadi seorang yang bertuah. Syukur Alhamdulillah, ini adalah rezeki anak-anak saya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Majlis penyampaian Proton Prevee tersebut disempurnakan oleh Pengurus Cawangan Mydin Kelantan, R. Naidu.

Menurutnya, kereta tersebut akan digunakan olehnya untuk urusan harian kerana sebelum ini dia hanya memandu Perodua Kancil.

Zuliani berkata, setiap minggu dia akan berbelanja di Mydin bagi mendapatkan bahan-bahan untuk jualan kerana harganya yang berpatutan.

Sementara itu, R.Naidu berkata, pada tahun ini pihaknya menerima sebanyak 800,000 penyertaan berbanding tahun lepas hanya 500,000 penyertaan sahaja.

“Peraduan ini dibuat bagi memberi penghargaan kepada pelanggan tetap Mydin di samping menggalakkan mereka untuk datang membeli-belah di pasaraya kami yang menawarkan harga yang berpatutan,” katanya.

Menurutnya, sempena musim cuti persekolahan ini, Mydin menawarkan hadiah 10 buah notebook kepada pelajar yang datang membeli kelengkapan persekolahan di sini.

Beliau berkata, kepada pelajar-pelajar diharap dapat merebut peluang yang diberikan sebaik mungkin kerana mereka bukan sekadar dapat membeli dengan harga yang murah tetapi turut mendapat hadiah.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/peniaga-mi-celup-menang-proton-preeve-1.104581