Sejak mula diperkenalkan di pasaran negara pada
1994, Toyota Camry telah mencatat pelbagai kejayaan dan membina reputasi teguh
atas kualiti, ketahanan, kebolehpercayaan, dan reka bentuk.
Sehingga hari ini, lebih daripada 96,000 unit
Toyota Camry telahpun terjual dan menjadi model paling laris dalam segmen
Kenderaan Penumpang Bersaiz Pertengahan di Malaysia sejak 2006 dengan
penguasaan pasaran 47 peratus.
Merancakkan lagi segmen sedan mewah, UMW Toyota
Motor Sdn Bhd memperkenalkan Toyota Camry serba baru menerusi tiga pilihan
varian- 2.5V, 2.0G dan 2.0E. Varian tertinggi 2.5V menawarkan enjin baru 2.5
liter dengan padanan transmisi automatik enam kelajuan, manakala 2.0G dan 2.0E
dilengkapi enjin 2.0 liter bersama gear automatik sequential shift.
Sesi pandu uji kali ini, Pemotoran menerima unit
Camry 2.5 liter. Dari segi rekaan luaran, Toyota mengambil inisiatif menawarkan
rupa luaran daripada tema Rational Tech Dynamism dengan imej yang lebih sporty.
Jika sebelum ini ada mengatakan rekaan Camry lebih kepada citarasa mereka yang
lebih berusia, mungkin anda perlu fikirkan semula.