Polis P.Pinang tumpas geng curi motosikal
September 2012
NIBONG TEBAL - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri motosikal yang dikenali sebagai geng 'Mojad' selepas menahan empat anggotanya dan merampas pelbagai komponen alat ganti motosikal bernilai lebih RM50,000 dalam beberapa serbuan di sekitar sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 19 tahun dan salah seorangnya adalah pelajar kolej.
"Hasil risikan sejak sebulan lepas oleh pasukan petugas, polis berjaya mengesan beberapa anggota geng berkenaan yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang sejak Mac lepas.
"Kumpulan Mojad ini bertindak mencuri motosikal untuk mendapatkan komponennya bagi dijual di pasaran gelap dan kepada kenalan-kenalan rapat anggotanya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya tangkapan pertama adalah pada 7 Sept lepas iaitu dua lelaki di Jalan Sentosa, Sungai Bakap selepas mereka mencuri sebuah motosikal di hadapan sebuah kafe siber.
Shafien berkata susulan tangkapan itu, pada 9 Sept lalu polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Permatang Ara dan menahan seorang lagi anggota geng berkenaan yang merupakan mekanik membaiki motosikal yang bertindak menukar alat ganti dan meleraikan motosikal yang mereka curi.
Shafien berkata susulan tangkapan itu, pada 9 Sept lalu polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Permatang Ara dan menahan seorang lagi anggota geng berkenaan yang merupakan mekanik membaiki motosikal yang bertindak menukar alat ganti dan meleraikan motosikal yang mereka curi.
"Polis berjaya merampas pelbagai komponen alat ganti motosikal curi yang disimpan di sebuah pondok kecil di belakang rumah mekanik berkenaan dan antara barangan yang ditemui ialah tiga buah motosikal curi, lima buah rangka motosikal, 25 buah komponen enjin dan lima buah ekzos. Kesemuanya bernilai RM50,000," katanya.