Ketua Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston ketika sidang media terkini berhubung misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang masuk hari ke-33 di Dumas House di Perth, hari ini. - Foto Bernama
PERTH - AUSTRALIA. Para pakar di Australia dan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa isyarat detikan yang dikesan kapal-kapal mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang di selatan Lautan Hindi merupakan peranti buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi lautan, demikian menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).
Ketua Penyelarasnya, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata para pakar dari Pusat Analisis Akustik Bersama Australia (AJACC) di New South Wales dan pengeluar kotak hitam di Amerika Syarikat, mengesahkan bahawa isyarat 33.31 khz itu adalah daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isyarat itu datang daripada kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.
"Dua isyarat yang dikesan kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield ialah pada 4.27 petang dan 10.17 malam semalam," katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan usaha menjejaki pesawat MAS Penerbangan MH370 di sini hari ini.
Beliau berkata isyarat pertama berlangsung selama 5 minit dan 32 saat dan yang kedua, 7 minit.
Pada Isnin, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu.