AES: Warga KL sambut baik jika lokasi sesuai
26 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Meskipun segelintir pihak melahirkan kegusaran dan mendakwa 'rimas' dengan 'mata-mata polis' baru, kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang berfungsi memantau kesalahan-kesalahan trafik, tinjauan Sinar Harian Online di salah satu lokasi pemasangan kamera tersebut di ibu negara pula lain ceritanya.
Kamera AES ini yang dipasang berhampiran satu simpang tiga di Jalan Ipoh, yang menjadi kawasan popular kemalangan melibatkan motosikal dan kesalahan melanggar lampu isyarat, diibaratkan satu anugerah kepada pengguna setia jalan itu terutama bagi penunggang motosikal.
Tinjauan Sinar Harian Online selama hampir tiga jam di kawasan itu mendapati beberapa kali pancaran laser dari kamera AES berkelip kerana merakamkan kesalahan pemandu yang melanggar lampu isyarat.
Bagi Shawal Kamaruddin, yang bekerja sebagai penghantar surat dan dokumen, kawasan simpang tiga Jalan Ipoh ini memang menjadi ketakutan kepada penunggang motosikal sepertinya ekoran sikap tidak bertimbang rasa pemandu-pemandu kereta dan lori yang melalui jalan itu.
“Saya hari-hari lalu sini, pada pendapat saya, yang selalu langgar lampu isyarat dekat sini, orang yang bawa kereta dan lori.
"Macam kami yang naik motor, bila dekat lampu isyarat, kami nak jalan, tetiba lori jalan dulu. Lori langgar, itu yang membahayakan penunggang motor macam kami.
“Saya yang bawa motor hari-hari lalu kawasan ni, memang banyak ragam pemandu-pemandu dekat sini," katanya.
Anak muda berusia 22 tahun ini menambah, keadaan jalan yang sesak di siang hari, ditambah pula dengan sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab, mengakibatkan kemalangan bukan lagi perkara baru di persimpangan Jalan Ipoh ini.