Honda CBR600RR
Honda CBR600RR
DIMANFAATKAN daripada input jentera perlumbaan MotoGP - RC211V, CBR600RR bukan sahaja mentakrifkan semula parameter prestasi atas jalan dengan fleksibiliti, tetapi juga dengan peningkatan enjin berkuasa tinggi dan pengendalian yang tepat.

Honda CBR600RR adalah jentera sport 599cc yang diperkenalkan oleh Honda pada 2003 sebagai versi replika perlumbaan bagi siri motosikal Honda CBRFx.

Untuk rekod jentera Honda itu telah memenangi Kejohanan Dunia FIM Supersports dari 2003 hingga 2008 bagi tempoh enam tahun berturut-turut.

Pada 2010, Honda turut menjadi pembekal rasmi enjin untuk kelas Moto2 melalui jentera berkuasa berasaskan CBR600RR. Ia sekali lagi membuktikan potensi dan kebolehpercayaan jentera tersebut.

Peningkatan yang berterusan dekad lalu telah menyaksikan evolusi CBR600RR menjadi satu daripada jentera paling cemerlang  pernah dihasilkan di gelanggang Supersports.

Tumpuan diletakkan ke atas casis, dengan tujuan mencipta sebuah motosikal yang menawarkan kawalan dan pengendalian yang jauh mengatasi kelasnya.

Penggunaan fork jenis Showa Big Piston 41 milimeter (mm) CBR600RR memastikan perjalanan yang  lancar di atas jalan. Pada masa sama menawarkan hubungan tayar hadapan dalam keadaan yang terhad semasa di trek lumba.

Bahkan menggunakan roda aluminium tuangan ringan, 12 jejari  sama dengan CBR1000RR Fireblade juga memberikan  tindak balas lebih baik.

Jentera bersesaran 599cc ini menggunakan penyejukan cecair DOHC 16 injap empat silinder sebaris yang menampilkan nisbah mampatan 12:2:1. Ia mampu menghasilkan kuasa 88kW pada 13,500rpm dan tork 66Nm pada 11,250rpm.