Enjoy The Ride With ALTAIR

Sunday 6 October 2013

LAGI ! Kemalangan Maut Bas Express

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu bas maut manakala 18 penumpang cedera termasuk dua parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres di KM21.1 Putrajaya arah Utara, Lebuh Raya Elite awal hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, kemalangan pada jam 2 pagi itu melibatkan bas ekspres yang membawa 18 penumpang dan dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Pinang.
   
Pemandu bas itu, Ibrahim Ahmad, 58, mati ketika dirawat di Hospital Serdang pada jam 1.45 tengah hari, katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Beliau berkata siasatan mendapati bas itu hilang kawalan sebelum terbabas serta melanggar besi pembahagi jalan dan sebuah papan tanda di lebuh raya itu, menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu.
   
Dua penumpang yang parah ialah rakyat Amerika Syarikat Morris Oldham, 60, yang cedera di kepala dan perut dan kini dirawat di Hospital Serdang dan Loh Ah Yuen, 51, yang cedera di kepala dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Pihak Kedutaan Amerika Syarikat telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu," kata Nordin.
   
Beliau berkata 16 penumpang yang cedera ringan pula terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an. Kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya.
   
Sementara itu, Oldham yang ditemui di Hospital Serdang berkata ketika kejadian semua penumpang sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi berdetar di luar bas itu.
   
"Apabila sedar, saya mendapati saya tersepit di cermin bas...nasib baik ada beberapa penumpang lain membantu saya," katanya.
   
Oldham, ahli perniagaan dari Boston, berkata beliau hilang telefon bimbitnya menyebabkan beliau tidak dapat menghubungi isteri dan anggota keluarga lain.    

 "Saya kini hanya mengharapkan kedutaan Amerika Syarikat untuk menghubungi mereka," katanya yang tiba di negara ini Khamis lepas untuk bercuti selama enam hari di Pulau Pinang.
   
"Kali terakhir saya hubungi isteri ialah pada pukul 9 pagi semalam dan saya memberitahunya saya tidak sabar untuk ke George Town, Pulau Pinang kerana saya amat suka akan tempat itu," katanya.
   
Adik pemandu bas berkenaan, Yunus Ahmad, 46, berkata dia hanya mengetahui abangnya terlibat dalam kemalangan tengah hari tadi selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya.
   
"Saya akan bawa pulang jenazah ke Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Seri Rapat, Ipoh," katanya.    

Beliau berkata arwah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu telah berkhidmat dengan syarikat bas berkenaan lebih 10 tahun dan merupakan seorang pemandu yang berhemah.
   
"Kalau ada percutian keluarga, pasti dia akan jadi pemandu untuk seisi keluarga," katanya sambil memberitahu arwah meninggalkan isteri dan tiga anak lelaki berusia 20-an. - Bernama

For Your GPS Tracking, Fleet Management System, Vehicle Protection, Personal Safety & Comfort Call Us at 03 - 7886 0220 or email us at sales@altair.com.my or visit www.altair.com.my

No comments:

Post a Comment