• 69 penumpang bas ekspres nyaris mautSebahagian penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.
 1 / 1 
BENTONG – Seramai 69 penumpang bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10.4 Jalan Bentong-Raub kira-kira jam 4.40 pagi semalam.

Dalam kejadian itu bas dua tingkat dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah hilux dari arah bertentangan.

Pemandu bas berusia 45 tahun patah kaki kanan manakala pemandu Hilux berusia 26 tahun pula berada dalam keadaan kritikal kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dua pemandu tersepit

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 4.46 pagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya, lapan anggota dan dua jentera bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di tempat kejadian terdapat dua mangsa sedang tersepit di dalam kenderaan masing-masing. iaitu pemandu Hilux dan pemandu bas.

“Pemandu Hilux tersepit di bahagian badan dan kaki mengambil masa 20 minit untuk dikeluarkan dari kenderaan,” katanya.

Zainal Abidin berkata, pemandu bas pula tersepit di bahagian kaki hingga ke paras peha menyebabkan beberapa bahagian hadapan bas termasuk stereng terpaksa dipotong bagi mengeluarkannya.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama 25 minit untuk mengeluarkan pemandu bas memandangkan keadaan bas terperosok ke tepi bukit.

“Kebanyakan penumpang bas keluar dari bas itu menggunakan pintu kecemasan di bahagian tengah untuk menyelamatkan diri.

“Berdasarkan maklumat diterima bas dua tingkat itu dinaiki seramai 69 orang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur,” katanya.

Zainal Abidin berkata, operasi menyelamat selesai kira-kira jam 6.20 pagi.

Bas 'makan jalan'

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian berlaku, bas dua tingkat itu dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong.

Katanya, semasa tiba di tempat kejadian bas yang dipandu pemandu berusia 45 tahun beralamat di Pasir Puteh, Kelantan  dipercayai ‘makan jalan’ laluan bertentangan dan kemudiannya hilang kawalan seterusnya melanggar Hilux.

“Hilux yang dipandu Mohd Azwan Md Yahya, 27, beralamat di Felda Mempaga Satu, Bentong kemudiannya cuba mengelak bas terbabit ke sebelah kiri namun gagal,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, dalam kemalangan itu, Mohd Azwan menerima rawatan di Hospital Bentong sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan susulan.

Katanya, pemandu lori pula hanya patah kaki dan kini dirawat di Hospital Bentong.

“Semua penumpang terselamat dalam kejadian itu. Semasa kejadian berlaku cuaca gelap dan jalan basah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tendang pintu kecemasan

Seorang penumpang, Mohd Zain Jaafar, 46, berkata, semasa kejadian berlaku dia sedang tidur tetapi terjaga apabila terdengar dentuman kuat disusuli asap di bahagian hadapan.

Katanya, pada masa itu terdengar jeritan dan suasana mula bertukar menjadi kelam-kabut kerana penumpang cuba menyelamatkan diri untuk keluar dari bas.

“Suasana agak kelam kabut memandangkan enjin bas sudah mati menyebabkan pintu kecemasan tidak boleh dibuka.

“Saya dan beberapa penumpang terpaksa menendang pintu kecemasan di bahagian belakang tepi kanan hampir 10 minit sebelum ia berjaya dibuka,” katanya.

Mohd Zain berkata, ada penumpang bertindak terjun menggunakan pintu kecemasan di bahagian belakang dan sebahagian besar menggunakan pintu kecemasan bahagian tengah tingkat bawah untuk keluar.

Lega terselamat

Sementara itu, Sarihah Safie, 44, hanya mampu mengucapkan kata-kata syukur atas insiden yang berlaku kerana dia dan anak perempuannya berusia dua tahun terselamat.

Katanya, ketika kejadian dia duduk di kerusi nombor dua di tingkat atas.

“Sebelum kejadian itu, saya ada mendengar bunyi yang cukup kuat dan dalam masa sama saya nampak Hilux sudah berada di hadapan bas.

“Pada masa itu saya hanya memikirkan soal kematian kerana terlalu takut namun sempat mendukung anak untuk keluar dari bas menggunakan pintu kecemasan,” katanya.

Bimbang bas masuk gaung

Seorang lagi penumpang, Huzaifah Nasir, 27, berkata, kebanyakan penumpang bersyukur kerana bas tidak masuk ke dalam gaung yang berada di sebelah kiri jalan.

Katanya, pada awalnya mereka semua tidak mengetahui struktur jalan di kawasan itu namun mengetahui sebelah kiri jalan adalah gaung selepas turun menyelamatkan diri dari bas.

Manakala warga emas, Minah Yusoff, 62, berkata, ketika kejadian dia duduk di bahagian belakang pemandu.

Katanya, selepas kejadian kemalangan itu berlaku, dia melihat sendiri pemandu bas terkulai sambil mengerang kesakitan.

“Saya dengar pemandu bas mengerang kesakitan kerana kakinya tersepit.

“Semasa berada di dalam bas saya membayangkan bas melanggar tembok tetapi selepas turun dari bas baru dapat lihat situasi sebenar,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/69-penumpang-bas-ekspres-nyaris-maut-1.213515