Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Dr Gerhard Pils berkata pada 2012 sahaja insentif FIT dan kereta hibrid telah meningkatkan pembelian dan penggunaan kereta hibrid sebanyak 84 peratus berbanding setahun lepas.
Pils berkata: "Lanjutan itu akan membantu mengukuhkan lagi pertumbuhan di dalam segmen kereta hibrid dan akhirnya menurunkan pengeluaran karbon di negara ini.
"Sebagai pengeluar kereta utama di dalam segmen kenderaan premium, BMW Group Malaysia kini fokus pada kelestarian yang dimasukkan melalui prinsip, strategi dan teknologi BMW EfficientDynamics, yang tersedia pada keseluruhan portfolio produknya di Malaysia.
"Ia merupakan satu langkah positif ke arah menyediakan para pengguna dengan teknologi sangat cekap dan lestari dan melalui perkongsian dengan orang ramai secara keseluruhannya mengenai pentingnya peranan yang relevan tentang kelestarian dan teknologi berbanding keprihatinan seperti pemanasan global dan perubahan iklim," katanya.
Pils berkata sejak pengenalan strategi BMW EfficientDynamics pada 2009, para pelanggan Malaysia terbukti sangat menyokong inisiatif itu dan hari ini lebih 20 peratus kenderaan BMW yang diserahkan mengandungi teknologi hijau paling maju yang sangat cekap, seperti kenderaan BMW Advanced Diesel dan BMW ActiveHybrid.
"Kami ingin menekankan semula bahawa insentif teknologi hijau tidak boleh berat sebelah tetapi menjadi inklusif alternatif teknologi lestari dan hijau yang maju, yang termasuk teknologi diesel, teknologi hibrid dan teknologi elektrik," katanya.
BMW Group Malaysia sangat teruja dengan usaha kerajaan memberi fokus pada teknologi lestari dan hijau sebagai pemboleh pertumbuhan sosioekonomi bagi negara ini, kata Pils. - Bernama