Enjoy The Ride With ALTAIR

Tuesday 26 February 2013

Polis Tahan Empat Individu Selesai 19 Kes Curi Kereta

WARTAWAN MSTAR
 
SHAH ALAM: Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dipercayai dalang sindiket curi kereta, dalam beberapa serbuan di Kuala Lumpur pada Ahad dan Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dengan penangkapan kesemua suspek berumur antara 21 dan 36 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan 19 kes curi kereta bernilai hampir RM500,000 di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 30 tahun dari Tawau, Sabah ditahan ketika berada dalam kereta bernombor pendaftaran palsu di Taman Sungai Besi Indah kira-kira pukul 2 petang 24 Februari lepas," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.

Beliau berkata tangkapan itu adalah susulan laporan kehilangan kereta jenis Proton Wira milik seorang lelaki berumur 57 tahun di kawasan perumahan Taman Sungai Indah kira-kira pukul 1.17 tengah hari, hari yang sama.

Mohd Adnan berkata suspek pertama terbabit ditahan dalam kereta milik mangsa yang mengecamnya melalui rim sport kenderaan itu.

Beliau berkata tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki berumur 36 tahun pemilik bengkel kenderaan pada pukul 6 petang hari yang sama di rumahnya di Taman Sri Bahagia, Kuala Lumpur dipercayai dalang yang bertindak mengasingkan komponen kenderaan curi.

"Hasil dari tangkapan itu, membawa kepada satu lagi tangkapan membabitkan sepasang suami isteri berumur 28 dan 21 tahun di tepi sebuah jalan berhampiran kawasan perumahan yang sama kira-kira pukul 7.15 malam," katanya.

Mohd Adnan berkata polis turut merampas sebuah kereta curi jenis Proton Iswara yang dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis kemudiannya melakukan serbuan di sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Nilai 7, Negeri Sembilan semalam, yang disewa oleh suspek berusia 36 tahun terbabit dan menemui 19 kereta tanpa enjin.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua kenderaan itu dilaporkan hilang di beberapa lokasi iaitu sembilan di Johor, Cheras (enam), Kajang (tiga) dan Ampang (satu).

"Kereta yang dicuri ialah jenis Proton Waja dan Iswara di mana lapan daripadanya dilaporkan hilang pada 2012 dan 11 lagi pada tahun ini," katanya.

Mohd Adnan berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 Februari ini. BERNAMA
 
 

For Your GPS Tracking, Fleet Management System, Vehicle Protection, Personal Safety & Comfort Call Us at 03 - 7886 0220 or email us at sales@altair.com.my or visit www.altair.com.my

No comments:

Post a Comment